Epik Bisu Legenda Urban
Tak pernah berita atau cerita ini tersebar ke khayalak ramai. Namun tidak bermaksud ianya tidak pernah terjadi. Niat Penulis sekadar ingin berkongsi dengan orang awam mahupun tidak berapa awam....
Ianya bermula apabila Encik Munir (Sudah tentu bukan nama sebenar) dan Puan Rozi (Mungkin nama sebenar), sepasang suami isteri muda yang baru sahaja mendirikan rumahtangga 3 tahun lepas, keluar dari sebuah pasaraya terkemuka setelah membeli belah tak hingat donia.
Dengan dua troli penuh, mereka termengah-mengah menolak menuju ke arah kereta mereka. Kereta mereka pula diletakkan di kawasan pakir lapang, tidak lah terlalu jauh dengan pasaraya tersebut.
Setelah memunggah hasil rampokan... er... barangan ke dalam but, Encik Munir melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 10:33 malam. Seperti kebanyakan pengguna-pengguna troli yang lain, mereka sekadar meninggalkan troli yang sudah mereka gunakan tadi terbiar di sebuah belakang van tanpa sebarang perasaan segan silu.
Sedang Encik Munir mula memandu, Puan Rozi ternampak dalam sekilas pandang akan bayangan seakan orang di dalam van tersebut. Namun Puan Rozi melupakan hasrat untuk memberitahu suaminya dan sekadar menganggap ianya ilusi semata-mata.
Mereka berbual kosong sepanjang perjalanan apabila tiba-tiba!!!!! Puan Rozi membuka plastik dan mengeluarkan aiskrim potong berperisa cendol dan menyuapkan kepada suaminya yang tercinta. Amboihhh!!!
Setibanya mereka di rumah, Encik Munir segera memunggah barangan manakala isterinya membuka pintu. Betapa terkejutnya Puan Rozi apabila mendapati yang terdapat beberapa troli yang bagaikan terasimilasi antara satu sama lain di hadapan pintu. Encik Munir yang dalam masa yang sama terkejut beruk habaq ang tanpa membuang masa segera mengambil lampu suluh lantas menyuluh ke dalam rumah.
Bagaikan telah berlatih, mereka menjerit secara harmoni apabila mendapati tiada ruang di dalam rumah mereka yang kosong tanpa troli. Penuh dan bagaikan bercantum antara satu sama lain. Kukuh dan tidak boleh digerakkan walau bagaimana mereka cuba sekalipun.
Setelah beristighfar beberapa kali, Encik Munir segera menelefon bomba, polis serta power rangers. Anggota bomba yang tiba beberapa minit kemudian turut terkejut namun dengan cara yang agak profesional. Tanpa membuang masa, salah seorang seorang dari anggota bomba tersebut mengeluarkan mesin pemotong berkuasa dengan niat untuk memotong troli-troli yang memenuhi ruang dalam rumah pasangan malang tersebut.
Jam menunjukkan pukul 11:45 malam apabila jiran tetangga mula memenuhi halaman rumah pasangan tersebut apabila terdengar akan bunyi bising mesin pemotong berkuasa tersebut. Masing-masing termanggu bagaimana perkara di luar fikiran manusia biasa seperti ini boleh terjadi.
Setelah berjam-jam cubaan memotong, troli-troli tersebut tidak terusik walau sedikitpun, malahan, seolah-olah bertambah. Para anggota bomba sekadar mampu menggelengkan kepala. Puan Rozi menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh beberapa orang jiran wanita.
*************************************************************
Setelah beberapa minggu mencuba pelbagai cara antaranya memanggil beberapa orang dukun, pawang dan ustaz, usaha mereka untuk mengeluarkan ribuan troli-troli dari rumah pasangan Encik Munir dan isterinya masih gagal. Pada ketika inilah Encik Munir sedar akan akibat tindakan mereka meninggalkan troli sesuka hati tempohari membawa padah..... Sekian.....
*Moral : Jangan tinggalkan troli merata-rata sehingga menyusahkan orang lain. Sila letakkan ditempat yang sepatutnya. Orait?
